Friday, July 29, 2011

rhapsody of love 21

Aku cuba buka kelopak mata yang membejat. Melirik ke arah jam dinding yang bergantung. Ugh.. dah pukul 2.30 petang? Solat Zohor tak lagi ni. Aku imbangkan badan untuk bangun dari baring. Memang lemah sangat rasanya ni. Demam aku ni dah makin parah bukannya makin kebah. Masuk hari ni dah tiga hari aku tuang kerja. Dan dah tiga hari jugaklah aku kena soal siasat dengan abah.

Asyik-asyik abah tanya..

"Angah, kereta kau mana?"

Tak pun..

"Angah, mana kereta kau?"

Tak pun gini...

"Kereta angah ni kemana?"

Adeii.. abah terchenta aku tu! Padahal soalan sama je kutt. Maka, aku hanya mampu jawap macam ni je... "Kereta angah masuk bengkel bah. Rosak apemende ntah. Nanti ada laa orang hantar kereta angah tu..". Tiap kali abah tanya, tiap kali tu lah aku recycle jawapan yang sama. Aku mengeluh mengenangkan penipuan cemerlang aku tu. Semua ni pasal anak lanun sorang tu lah. Menyusahkan hidup aku betul. Nak aje aku lancarkan serangan gerila kat dia biar dia K.O terus.

"Dari aku mengutuk ke anak lanun tu.. baik aku pergi solat,"getus aku sengsorang. Aku bertatih ke bilik air untuk mengambil wuduk. Menggigil-gigil badan ni bila air terkena kulit. Sabarlah Chempaka.. demam sikit je ni. Selesai berwuduk, aku capai sejadah dengan telekung lalu memakainya.

Usai solat, aku merehatkan diri atas sejadah. Dengungan di kepala benar-benar merimaskan. Satu apa pun aku tak boleh nak buat. Suhu badan pun sekejap naik sekejap turun. Tekak pula asyik loya semacam... erk?

Nak muntah!

Berlari aku masuk ke bilik air semula. Meluahkan segala isi perut ke dalam mangkuk tandas. Perit yang amat. Tekak, perut, hidung.. segalanya perit. Macam nak tercabut trakea aku ni. Apabila dah lega, aku berkumur tiga kali kemudian keluar dari bilik air. Kalau ikutkan badan yang dah macam sotong tak cukup air ni, nak aje aku rebah ke katil tapi memandangkan perut yang dah kosong ni.. terpaksa juga aku menapak turun ke dapur.

"Makkk.." Aku merengek apabila nampak mak kat dapur. Pinggang mak aku peluk dari belakang dan meletakkan kepalaku di bahunya.

"Eh? Angah!" Mak berpusing. Turun sikit suhu badan ni tengok mak senyum. "Kenapa turun bawah ni? Kan angah demam?"

Aku mencebik-cebik, konon nak tunjuklah aku ni tenat sangat-sangat. Haha.

"Panas lagi ni." Mak rasa dahi aku dengan muka risau dia tu. Nak tergelak pula rasa. Aku tarik sengih tak seberapa. "Orang suruh pergi klinik tak mahu. Haa.. inilah padahnya! Macam manalah anak mak ni boleh jadi doktor? Mak hairan betul."

"Sebab angah doktorlah angah tak perlu pergi klinik,"aku jawab selamba. "Abah mana mak?"

Mak jeling je kat aku sebab dia tahu aku alih topik. "Abah kat balai lah. Kan dia kerja hari ni."

Ooo... lupa pulak yang ASP Baharain ada duty hari ni. Hehe..

"Lapar? Nak makan?"

Aku angguk. "Lapar. Tapi tak seleralah mak.."

"Mak ada masak bubur. Nanti mak perangatkan. Angah pergi duduk kat depan nuh. Rehat, tidur. Jangan nak buka aircond pulak. Kang makin teruk demam tu." Tuuu dia.. mak dah turun kan titah dia. Maka, aku perlulah patuh dengan suka relanya. Lambat-lambat aku menuju ke arah ruang tamu. Tiba saja di sofa, aku terus rebah di situ. Sesaat dua kemudian, aku terlelap.

"Angah.."

Eh?

"Angah, bangun!"

Macam ada orang panggil nama aku? Mak ke? Pehal sayu je suara?

Aku buka kelopak mata perlahan-lahan. Air mata yang nak meleleh ke pipi, aku kesat. Biasalah.. bila demam panas macam ni, aku secara automatiknya jadi ratu air mata. Bersusah payahnya aku bangun dari baring lalu duduk bersandar di atas sofa. Mak yang sedang memegang mangkuk bubur dengan segelas air masak itu aku tatap lama.

"Mak, lama dah ke angah tidur?" Aku tanya mak setelah sekian lama termangu.

Mak angguk dan senyum aje. Hati aku jadi tak sedap bila tengok mak. Aku tarik mak suruh duduk sebelah aku. Mata mak merah. Hidung mak pun merah. Takkan mak selesema kut??

"Mak menangis ye?" Aku tanya.

"Eh! Mana ada. Pandai aje angah ni,"dalih mak.

"Mak..."

Mak senyap. Dia hanya tersenyum kelat kat aku. Dalam kepala mak sekarang ni ada apa ye?? Mak fikir pasal siapa ye?? Mak sedih pasal apa eh?? Think, Cha, think. Aku rasa macam nak marah kat otak aku ni sebab lambat sangat nak interpret data. Lama aku dan mak senyap. Suasana di ruang tamu tu betul-betul macam suasana kat bilik mayat.

Ahha!! Ya Allah, Cha.. ape ke bengap sangat kau hari ni?!!

"Mak.. along marah mak lagi ye??" Aku bersuara tegas sambil merenung dalam ke dasar mata mak. Aku yakin ini mesti kerja anak teruna kesayangan mak aku ni. Bengangnya aku! Bertambah bengang  apabila air mata mak mula meleleh ke pipi tuanya. Terhingut-hingut bahu dia menahan sebak. Masya-allah, sedih aku tengok mak macam ni. Kenapalah dengan along ni?

"Along ni dah melampau tau!" Aku bangun dalam terumbang-ambing menuju ke arah telefon rumah. Mak dah berlari mendapatkan aku. Lengan aku dipeluk kemas.

"Angah, jangan marah-marah. Angahkan demam ni. Duduk, rehat. Biarkan aje along tu,"kata mak teresak-esak. Naik sebak dada aku melihat mak. Naik sakit jiwa aku dengan along. Mendidih rasanya darah ini. Amarah bertindakbalas pulak dengan demam panas aku ni memang boleh menyebabkan satu rumah ni terbakar!

"Angah tak kira! Along dah melampau mak. Dia ingat dia tu siapa nak buat mak angah macam ni?!" Aku marah. Nombor along aku dial laju-laju. Lama aku tunggu talian bersambut tapi along tak angkat. Aku dial lagi dan masih juga gagal. Akhirnya aku dial nombor Kak Long. Nasib baik dia angkat. Kalau tak memang nak kena maki laa..

"Kak Long!" Suaraku memetir.

"Eh? Angah? Nak apa ni?" Ramah bunyinya. Tapi silap harilah Kak Long nak ramah-tamah. Aku tengah berbara ni.

"Along ada kat situ tak?"

"Err.. ada. Kenapa?"

Oooo... ada ye? Tapi pejadah tak angkat phone?? Pekak sudah?

"Haa.. bagus! Kak Long buat loudspeaker cepat!" Aku melirik ke arah mak yang sedang teresak. Kepala aku tergeleng-geleng sambil aku memicit dahi. Pening.. pening..

"Pehal ni angah?" Suara along yang kurang mesra itu terdengar juga. Oh, sudah pastilah isteri kesayangan along aku tu report kat dia. What a couple!

Aku tersenyum sinis. Rasa berbinar-binar terus lenyap apabila soalan along menerjah ke telinga.

"Pehal? Along tanya angah pehal??? Hey, you listen to me and you listen good. Kalau along masih nak berbinkan dengan nama Baharain, masih nak cium bau syurga, masih ada iman dan rasa tanggungjawab.. along balik sini dan minta maaf dengan mak! Along ingat along tu siapa nak marah-marah mak? Along jangan ingat along dah ada keluarga sendiri.. along boleh buang mak dan abah macam along buat ni? Apa, along dah teringin sangat ke nak pegang watak Si Tanggang??! Kalau betul nak jadi sangat, pegang casting untuk teater lah!"

Aku dah tak dapat menahan rasa marah dan sedih ini lagi. Mak mendakapku dari belakang. Aku cuba menahan air mata tapi tak boleh. Emosi betul-betul tak dapat nak kawal. Suhu badan dapat kurasakan semakin meningkat. Kepala aku berdenyut bagai nak gila.

Along tidak memberi respon. Dia senyap, diam seribu kata.

"Along balik minta maaf dengan mak sekarang juga. Ini bukan pertama kali mak menangis sebab along. Tapi dah banyak kali dah. Angah dah tak boleh nak sabar lagi. Jangan sampai hilang semua rasa hormat angah ni pada along!,"kata aku dalam sedu-sedan dan menghempaskan gagang telefon

Manalah perginya along aku yang sangat-sangat penyayang tu? Mana pergi along yang bertanggungjawab tu? Apa dah jadi dengan along sebenarnya? Kenapa dia berubah?

Aku memegang kepala aku yang makin berdenyut. Memang sakit betul ni. Macam kena gigit dengan zombie pun ada. Mahu aje aku menggelupur kat situ nak buktikan betapa sengsaranya kepala aku sekarang ni.

"Mak, kepala angah.. sakit." Aku merengek kat mak. Mak cuba memapah aku ke sofa tapi aku dah tak berdaya nak berjalan. Pandanganku makin kelam dan kelam.

Tiba-tiba, segala-galanya gelap!

Hitam!

Hening!

No comments:

Post a Comment

sekupang.. dua kupang.. tiga kupang.. nah! aku kasi kat hangpa!